Saturday, November 1, 2008

SYUKUR-Tuhan Cinta Agung

SYUKUR merupakan sifat mulia yang dikaitkan dengan amalan hati dan akhlak terpuji yang sepatutnya sentiasa menghiasi kehidupan. Syukur sebagai satu sifat yang dilahirkan daripada respons terhadap nikmat yang dikurniakan Allah.

'Ingatlah kepada ku (Allah) nescaya aku ingat kepada mu. Dan hendaklah kamu bersyukur kepada ku dan janganlah kamu lupakan budi ku'- surah al-Baqarah: 152.

Orang yang sentiasa bersyukur adalah orang yang sentiasa menyemai sifat manusiawi dalam erti kata sentiasa bertimbang rasa, tahu menerima kasih sayang Allah.

Syukur terhadap nikmat Allah datang daripada pelbagai bentuk. Syukur terhadap kurniaan Allah atas anugerah kesempurnaan fizikal atau jasmaniah (anggota tubuh badan).

Firman Allah: 'Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu mu tanpa mengetahui sesuatu. Kemudian diberikannya kamu pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur' - surah al-Nahl: 78.

Syukur juga merangkumi kurniaan terhadap rezeki kurniaan Allah.
Firman Allah: 'Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya biji-bijian, lalu mereka makan daripadanya.

'Dan kami jadikan daripadanya beberapa kebun dari kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya mata air agar mereka makan dari buah-buahan dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka bersyukur'.

Tegas Allah lagi dalam surah al-Nahl ayat 18 yang bermaksud: 'Dan kalau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu menghitung (seluruhnya) dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'.

Rasulullah sentiasa menjadikan amalan bersyukur dalam kehidupan Baginda. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud menjelaskan bahawa 'Adalah Nabi apabila mendapat khabar yang menyenangkan hati, lantas beliau sujud kepada Allah'.

Sementara dalam hadis yang lain menyatakan 'Dari Abu Bakrah, bahawa Nabi Muhammad apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, segera beliau tunduk bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah'- Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Al-Baihaqi meriwayatkan: Rasulullah lakukan sujud syukur bila menerima surat daripada Ali ketika menceritakan tentang ramai penduduk Yaman memeluk agama Islam.


Syukur boleh dicernakan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui perbuatan, melalui hati dan melalui lisan. Syukur melalui perbuatan merangkumi membelanjakan harta ke jalan kebajikan seperti sedekah dan amalan jariah. Melalui ilmu yang diperoleh dan disebar serta diajar kepada orang lain.
Melalui kuasa, pangkat dan kedudukan pula dengan memberi khidmat yang terbaik. Syukur melalui hati pula adalah dengan cara mengakui dan menyedari dalam hati apa yang diperoleh daripada anugerah Allah.

Firman Allah: 'Tuhan mu lebih tahu apa yang ada dalam jiwa, jika kamu orang yang baik. Sesungguhnya dia Pengampun bagi orang yang bertaubat' - surah al-Isra'-25. Syukur dalam bentuk lisan adalah melalui ucapan seperti sentiasa melafazkan zikir seperti ucapan seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar.

Oleh itu, cernakan selalu budaya syukur dalam kehidupan kita, ingatlah bahawa apa yang kita peroleh hanya sementara dan sebagai ujian untuk melihat sejauh manakah kita dapat menzahirkan rasa ketakwaan yang tinggi terhadap Allah.

No comments: